Wednesday 6 February 2013

Antara Hutang, Riba dan Jual beli

Antara Hutang, Riba' dan Jual beli

Dibolehkan bagi simuqridh (orang yang memberi hutang) mengambil manfaat barang yang dihutangnya itu, asalkan itu bukan datang darinya dan tidak pula merupakan perjanjian sebelumnya. Tetapi semata-mata kerelaan dari yang berhutang.

Dari Abdillah bin Abi Rabi’ah r.a. ia berkata:
Pernah Rasulullah s.a.w. berhutang dengan aku sebanyak empat puluh ribu (dinar atau dirham). Lalu datang kepadanya (orang memberikan) wang, maka diberikannya wang itu kepadaku, dan ia berkata: Mudah-mudahan Allah memberi berkah pada keluarga dan harta engkau. Hanya balasan pinjaman ialah puji-pujian (terima kasih) dan mengembalikannya.

(Riwayat Nasaie’)

Dari Abu Rafi’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berhutang dengan seorang lelaki seekor unta berumur 3 tahun. Kemudian dibawa kepada beliau unta berumur 4 tahun untuk disedekahkan, maka aku disuruh oleh Rasulullah supaya membayar kepada lelaki (yang memberinya hutang itu) akan unta tersebut lalu berkata “ Tidak aku peroleh waktu itu melainkan unta yang lebih baik (yang berumur 4 tahun), maka berkata Rasulullah: Berikanlah kepadanya unta itu, sesungguhnya sebaik-baik manusia, ialah orang yang lebih dalam membayar hutang.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain dan ia bermaksud hendak membayarnya, maka Allah akan membayarkannya, dan barangsiapa yang meminjam harta orang dan ia sengaja hendak melenyapkannya (enggan membayar), lebih dahulu Allah akan melenyapkan hartanya itu”.

(Riwayat Bukhari)

Firman Allah s.w.t.: “Dan jika orang berhutang itu dalam kemiskinan, maka hendaklah tunggu sampai ia mampu membayar”
(Al Baqarah 280)

Apabila membayar hutang, disunatkan melebihkan atau membayar dengan lebih baik. Tetapi apabila orang yang memberi hutang itu sendiri yang memberikan syarat, supaya pembayaran hutang itu dilebihkan maka hukumnya riba’ dan haramlah ia memakan lebihan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dari Ali r.a. berkata ia: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Tiap-tiap hutang yang sengaja mencari manfaat, maka hukumnya riba”

(Riwayat Al Haris bin Abu Usamah)

Firman Allah swt:

Pekerjaan berjual beli itu seperti riba, tetapi Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

(Al Baqarah 275)

Jual beli :

Pertukaran Wang -> Barang -> Wang + Pertambahan (Keuntungan yang halal)

Contoh:

Membeli pen berharga RM10 dan menjualnya pada RM20, keuntungan RM10 itu adalah halal disertai dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak penjual dan pembeli.

Menjual secara tunai harganya RM100 tetapi secara hutang RM120, itu dibenarkan oleh syarak disebabkan risiko dan juga dipersetujui oleh pembeli tetapi jika terlewat membayar hutang, harga berubah menjadi RM150 daripada RM120 maka RM30 itu adalah riba’.

Riba :

Pertukaran Wang -> Wang + Pertambahan Manfaat (contohnya faedah atas pinjaman wang)

ataupun :

Pertukaran Barang -> Barang + Pertambahan Manfaat (contohnya beras yang berlainan beratnya).

Dari Jabir r.a. ia berkata : Telah dilaknati oleh Rasulullah s.a.w. orang-orang yang suka makan riba, orang yang jadi wakilnya, jurutulisnya, orang-orang yang menjadi saksinya dan seterusnya rasulullah s.a.w. berkata: “Mereka itu semuanya sama.”

(Riwayat Muslim)

Firman Allah swt:

Orang yang makan riba, mereka tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran penyakit gila.Keadaan mereka yang demikian itu disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang yang sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti, maka baginya apa yang diambilnya dahulu (sebelum datang larangan) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya.

(Al Baqarah 275)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan dia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali”.

(Riwayat Ahmad)

Jenis riba (Nasiah dan Fadhal)

Riba Nasiah

Apabila melewati tempoh yang diakadkan untuk membayar hutang, maka akan ada pertambahan hutang.Riba ini dilakukan oleh kaum Jahiliyah, lalu turunlah ayat pertama mengenai riba :

Firman Allah swt:

‘Wahai orang-orang yang beriman, Janganlah kamu makan harta riba yang berlipatganda dan takutlah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya.’

(Ali Imran 130)

Contohnya membeli kereta dengan ansuran selama 9 tahun, apabila terlewat beberapa bulan dikenakan caj faedah . Caj faedah itu adalah riba tetapi jika kos pengurusan seperti penghantaran notis pemberitahuan maka itu tidaklah diklasifikasikan sebagai riba. Dalam perbankan Islam, pembayar yang sengaja lewat membayar hutang dikenakan ta’widh (denda) dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Denda tersebut tidak boleh disatukan dalam jumlah pinjaman dan sebaiknya didermakan kepada fakir miskin.

Riba Fadhal

Apabila berlaku pertukaran barang ribawi (wang,emas.perak, dan makanan) yang sama jenisnya, terdapat perbezaan imbangan contohnya:

- Menukarkan wang kertas RM10 berjumlah RM90 dengan wang kertas RM100, maka RM10 itu adalah perbezaan dan itu adalah riba.

- Meminjamkan wang RM100 dengan syarat faedah 10% iaitu RM110, maka RM10 itu adalah perbezaan dan itu adalah riba.

- Menukarkan emas 916 dengan emas 999 pada 100gm maka perbezaan komposisi kualiti emas 8.3% itu adalah riba.

- Meminjamkan beras 15kg dengan syarat dipulang kembali sebanyak 20kg maka perbezaan 5kg itu adalah riba.

Apabila disyaratkan atau diakadkan dahulu supaya perbezaan itu menjadi keuntungan bila dikembalikan maka kelebihan yang disebabkan akad itu menjadi riba, dan dilarang sama-sekali oleh Allah swt.

Dalam konteks semasa, mungkin ada di antara kita telahpun terjebak dalam perbankan konvesional yang berasaskan riba melalui pinjaman atau simpanan di bank berkenaan. Seiring dengan perkembangan semasa di mana terdapatnya perkhidmatan perbankan Islam maka seharusnya kita beralih semampu yang boleh dan bertaubat kepada Allah swt atas dosa disebabkan kejahilan kita dahulu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Rujukan:

Fiqh Syafi’i-H Idris Ahmad

Al Umm Imam Syafi’i-Prof TK H Ismail Yaakub

Riba dan Isu Kewangan Semasa-Ust Zaharuddin Abd Rahman

Jurnal Muamalat-JAKIM