Wednesday 8 January 2014

Fatwa ASB/ASN

ISU: 
Sebagaimana dimaklumi bahawa pelaburan ASB dan ASN telah difatwakan harus oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Namun pada akhir-akhir ini ada pihak-pihak yang menyebarkan surat daripada Suruhanjaya Sekuriti dan juga kenyataan daripada pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa ASB dan ASN adalah haram. Bagaimana percanggahan hukum seperti ini boleh berlaku?

PENJELASAN:
Perkara pertama yang perlu difahami dalam isu ini ialah perbezaan peranan antara Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merupakan badan pengeluar dan penyelaras hukum hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

Manakala Suruhanjaya Sekuriti pula adalah badan yang antara peranannya ialah membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak patuh syariah (bukan hukum atau fatwa) berdasarkan garispanduan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti. 

Metodologi yang diguna pakai oleh kedua-dua badan tersebut dalam membuat keputusan juga adalah berbeza.

Sebagai badan pengeluar hukum, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menggunakan kaedah-kaedah istinbat yang muktabar dalam membuat keputusan dengan bersumberkan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas, serta dalil-dalil lain yang diiktiraf syarak. Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syar’iyyah.

Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan. Sebagai contoh, tanda aras lima peratus (5%) diguna pakai bagi perniagaan perjudian dan perbankan konvensional, dan tanda aras 20% diguna pakai bagi perniagaan pembrokeran saham dan operasi hotel serta rumah penginapan. Untuk tanda aras nisbah kewangan, nisbah 33% diambil kira sebagai tanda aras. 

Oleh itu sekuriti-sekuriti akan diklasifikasikan sebagai patuh syariah apabila aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan mereka berada di bawah tanda aras. Tanda aras tersebut yang diletakkan oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah tanda aras umum bagi memudahkan penyenaraian sekuriti patuh syariah dan tidak patuh syariah. Tanda aras tersebut adalah berasaskan kepada ijtihad Suruhanjaya Sekuriti yang bukan bersifat qat’ie dan statik. Ia boleh berubah dengan berubahnya ijtihad. Bahkan, tanda aras tersebut baru sahaja dibuat perubahan pada tahun 2013, di mana sebelum itu tanda aras yang diguna pakai untuk aktiviti perniagaan adalah 5%, 10%, 20% dan 25%, dan tidak mengambil kira nisbah kewangan.

Sebagai badan berautoriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah, Suruhanjaya Sekuriti mengambil pendekatan yang objektif dalam mengklasifikasikan sekuriti patuh syariah berasaskan tanda aras yang telah ditetapkan, tanpa dipengaruhi elemen-elemen lain seperti siasah syar’iyyah, keperluan dan maslahat umum. 

Justeru, Suruhanjaya Sekuriti tidak membuat sebarang pengecualian terhadap sekuriti yang tidak menepati tanda aras mereka.Oleh yang demikian, apabila skim pelaburan ASB dan ASN didapati tidak mematuhi tanda aras sebagaimana ditetapkan, ia tidak disenaraikan oleh Suruhanjaya Sekuriti sebagai patuh syariah. 

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam keputusannya tidak terikat dengan tanda aras yang diletakkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berdasarkan hujah-hujah syarak dan kaedah-kaedah fiqhiyyah dalam pengeluaran hukum, mempunyai ijtihad secara jama’i dalam menilai sekuriti yang bercampur dengan aktiviti tidak patuh syariah khususnya dalam isu ASB dan ASN ini. Dalam hal ini, pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah:
“... PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam”.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga menimbang faktor maslahat dan mudarat yang dijangka berlaku kesan daripada hukum yang dikeluarkan. Antara lain:
“... Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas”.

Dalam apa jua isu hukum hakam yang dibincang dan diputuskan yang melibatkan kepentingan nasional, faktor-faktor kemaslahatan, kemudaratan, kepentingan awam, siyasah syar’iyyah dan seumpamanya adalah perkara yang telah lama diamalkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Tidak terkecuali dalam isu ASB dan ASN, faktor-faktor tersebut juga diambil kira. Hifz al-mal merupakan salah satu masalah dharuriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah (Ulil Amri). Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Agama Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah. 

Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum. 

Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

KESIMPULAN:
Kedua-dua badan iaitu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Suruhanjaya Sekuriti adalah badan yang berautoriti dalam bidang kuasa dan peranan masing-masing. Suruhanjaya Sekuriti mempunyai hak untuk tidak menyenaraikan ASB dan ASN sebagai patuh syariah kerana asas penyenaraian adalah tanda aras yang telah ditetapkan.

Selaras dengan fungsi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selaku badan yang bertanggungjawab dalam penentuan hukum hakam di peringkat nasional, maka keputusan hukum yang dikeluarkan adalah berpandukan kepada Ijtihad Jama’i dan konsensus semua ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada mufti, alim ulama' dan pakar dalam pelbagai bidang, berasaskan kepada kajian pakar-pakar ekonomi Islam dan penjelasan terperinci oleh pihak PNB sendiri (yang juga mempunyai Majlis Penasihat Shariah bagi meneliti semua aspek pelaburan yang dilaksanakan) tanpa terikat dengan garis panduan atau metodologi badan lain yang jelas mempunyai fungsi yang berbeza. 

Pelaksanaan peranan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini adalah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, iaitu sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan/keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri kerana matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum hakam yang dikeluarkan di Malaysia. 

Oleh itu, dalam isu hukum pelaburan ASB dan ASN ini, keputusan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 tidak sewajarnya dipertikai atau dibanding-bandingkan dengan keputusan mana-mana badan lain atau kenyataan pihak-pihak tertentu yang jelas berbeza samada dari segi fungsi dan autoriti, metodologi atau garispanduan yang digunakan. 

Wallahu A’lam.

Monday 26 August 2013

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah

عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.

Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:

ثم أتيته بالمنديل فرده

Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.

Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:

1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.

2) Membaca ‘Bismillah’.

3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.

6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:

ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, dibolehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.

عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين

Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

 Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)

10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Wallahu’alam.

Saturday 13 July 2013

Apakah MUJTAHID

Apakah MUJTAHID?

-mujtahid berasal dari kata Ijtahada, yajtahidu, ijtihaadan, fahuwa mujtahidun, ertinya ialah orang yang berijtihad. Yakni mereka yang bersungguh-sungguh mengerahkan segala tenaga dan kemampuannya yang rasional untuk menggali/mempelajari ajaran Islam yang tertuang di dalam Al-Quran dan hadith, dengan analisanya yang tepat, memberi pertimbangan tentang hukum-hukum Islam. Perbuatannya disebut ijtihad. Syarat-syaray seseorang disebut mujtahid, ialah:
1- mengetahui nas Al-Quran dan nas Hadith. Tidak disyaratkan hafal, tetapi cukup mampu dan dapat mengemukakannyadengan benar (hakikatnya ramai ulama2 muktabar zaman dahulu hafal Al-Quran dan hafal banyak hadith walaupun berbeza-beza bilangannya bagi setiap orang)
2-terhadap hadith, seorang mujtahid disyaratkan mengetahui shahih, hasan dan dhaifnya, keadaan perawinya, mana yang tercela dan mana yang tidak, yang diterima dan yang ditolak, dan sebagainya.
3-mengetahui sola-soal ijmak, sehingga ia tidak memberikan fatwa yang bertentangan dengan ijmak tersebut.
4-mengetahui bahasa Arab sedalam-dalamnya dan mahir dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab seperti: Nahwu, Sharaf, Ma'ani, Bayan, Ba'di (Balaghah), 'Arudl dan Qawafi.
5-mengetahui tentang Asbabu-Nuzul dan Asbabul-Wurudnya.
6-mendalami tentang ilmu usul-fiqh. Kerana ilmu inilah yang menjadi dasar dan pokok ijtihad.
7-mengetahui nasikh dan mansukh.
8-memiliki sifat taqwa dan muru'ah (harga diri), tidak takabbur dan menjauhi segala larangan Allah swt.

Ada beberapa istilah mujtahid/tingkatannya:

A- mujtahid fil-madzhab-seorang mujtahid yang tidak membangun madzhab sendiri, tetapi mengikuti salah satu madzhab tertentu, sedangkan dalam berijtihad mengenai persoalan yang pokok dan soal-soal cabang kadang-kadang ia menyalahi madzhab yang diikutinya.

B- mujtahid fil-masa'I'll - seorang mujtahid yang melakukan ijtihad dalam beberapa masalah sahaja, tidak dalam masalah-masalah yang umum.

C- Mujtahid fis-syar'y - mustaqil- mujtahid yang membangun suatu madzhab tertentu seperti: imam Abu Hanifah, Imam Maliki, Imam Syafi'e, Imam Ahmad bin Hanbal, dan lain-lain. Mereka ini disebut pula dengan mujtahid mutlak.

D- mujtahid muntashib - mujtahid yang memenuhi syarat-syarat ijtihad, tetapi menggabungkan diri dengan suatu madzhab, kerana mengikuti cara-cara yang telah dikembangkan oleh Imam madzhab tersebut di dalam berijtihad.

E- mujtahid muqallid - mujtahid yang berijtihad hanya terbatas mencari alasan-alasan beberapa pendapat dalam madzhab tertentu untuk menghilangkan sejumlah kejanggalan dan kesamaran. Dalam erti, hanya menguraikan pendapat-pendapat yang belum jelas saja.

F- mujtahid muqayyad - mujtahid yang berijtihad dengan hanya mengikat diri pada pendapat ulama salaf dan mengikuti ijtihad mereka, serya memahami dalalah-dalalahnya.

Siapa dan apa itu TAQLID:
- iaitu menerima atau mengikuti pendapat orang lain (mujtahid/ulama) tanpa mengetahui di atas dasar apa pendapat demikian ditegakkan. Orang yang melakukan taqlid disebut muqallid. Tidak semua bertaqlid itu dibenarkan atau dipersalahkan. Orang yang mampu berijtihad (memenuhi ijtihad) tentu tidak dibenarkan bertaqlid kepada orang (ulama) lain, sedang bagi orang yang tidak mampu berijtihad sendiri dibenarkan bertaqlid kepada mujtahid/ulama yang diyakini kebenaran pendapatnya, bahkan WAJIB. Alasan-alasannya adalah seperti berikut:
A) berijtihad sendiri bukanlah hal yang dengan mudah dapat dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin (baca syarat-syarat menjadi mujtahid di atas).
 berijtihad tanpa memenuhi pensyaratan yang cukup justeru akan mengundang bahaya yang lebih besar, yang dapat membawa seseorang pada kesimpulan/pendapat yang salah/menyimpang dari maksud al-Quran dan hadith yang sebenarnya.
C) bertaqlid kepada tokok/imam ahli di bidang agama yang diyakini kemampuannya memahami al-Quran dan Hadith secara benar adalah lebih aman untuk mencapai kebenaran daripada berijtihad sendiri tanpa mempunyai syarat yang memadai.
D) setiap orang islam tidak boleh menunda pengamalan agamanya, misalnya penguasaan ilmu tentang solat. Apakah ia harus lebih dulu memahami al-Quran dan hadith sendiri? Taqlid yang diperbolehkan dan diharuskan bagi orang awam disini, selain dalam urusan tauhid. Kalangan ahlus sunnah wal jamaah, mengakui dan bertaqlid kepada madzhab-madzhab seperti berikut:
-di bidang syariat mengikut/bermadzhab kepada salah satu dari empat madzhab iaitu: madzhab hanafi, maliki, syafi'e atau hanbali
-dibidang aqidah, mengikuti/bermadzhab kepada salah satu dari dua imam iaitu imam Al-Asya'ari dan al-Maturidi.
-di dalam bidang akhlak/tasawwuf, bermadzhab kepada imam Junaid al-Bughdady atau imam al-Ghazali.

Mereka itulah yang sampai saat ini masih mempunyai pengikut yang cukup besar, dan pendapat-pendapatnya masih banyak tersebar/berlaku, baik dalam kitab-kitab yang ditulis sendiri atau ditulis oleh murid-muridnya.

Soalan: Bolehkah mengambil terus dari al-Quran dan hadis tanpa melihat kepada pendapat ulama madzhab dalam kitab-kitab feqah mereka?
Jawapan: Perkara ini tidak boleh, tidak benar, malah sesat dan menyesatkan. Dalam kitab Tanwirul Qulub, m/s 75 dinyatakan yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang tidak mengikuti salah satu daripada mereka (imam-imam madzhab) dan berkata: Aku beramal dengan al-quran dan hadith. Dan mengaku telah mampu memahami hukum-hakam dalam al-Quran dan hadis, maka orang tersebut tidak boleh diterima, bahkan termasuk orang yang bersalah, sesat dan menyesatkan, terutama pada masa sekarang ini dimana kefasikan bermaharajalela dan banyak tersebar dakwah-dakwah yang salah kerana dia ingin lebih mahsyur daripada pemimpin-pemimpin agama sedangkan dia di bawah mereka dalam ilmu, amal, keadilan dan ittila' "

Wallahualam.

Tuesday 2 July 2013

Syiah

Cara Mengenali Orang Yang Berpegang Agama Syiah oleh Belia Keamanan Malaysia

Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk kita mengenal orang yang berpegang dengan agama Syiah ini?

Jawapan:
Mula-mula sekali sebelum kita hendak mengenali orang yang menganut fahaman syiah ini, kita perlu mengenali apa itu syiah. Syiah di atas dunia mempunyai tiga kecenderungan yang besar. Mereka terpecah kepada banyak kelompok tetapi majoritinya adalah tiga kelompok besar seperti berikut.

1 : KELOMPOK PERTAMA – SYIAH MUFADDHOLAH (puji kelebihan)
iaitu yang cenderung memuliakan ahlul bait (kaum keluarga Nabi).

CIRI-CIRI :
mereka akan banyak bercakap tentang kemuliaan ahli keluarga Nabi;
- Ali,
- Fathimah,
- Hasan,
- Husain,
- dan lain-lain

mereka tidak mengkafirkan sahabat Nabi.

mereka mengiktiraf Abu Bakar, Umar, Utsman sebagai khalifah,

tetapi bagi mereka Ali tetap lebih mulia dengan tema atau slogan mereka, jawaazu-imaamatil-faadhil-ma’a-wujuudil-afdhal (harus menjadi imam orang yang baik dengan kebersamaan wujudnya orang yang lebih baik).

bererti Abu Bakar, Umar dan Utsman diharuskan menjadi khalifah walaupun (menurut pegangan mereka) Ali lebih baik daripada mereka semua.

Cara Mengenali Orang Yang Berpegang Agama Syiah

NAMA KUMPULAN :
- mereka terkenal dengan nama Syiah Zaidiyyah, kebanyakannya di Yaman.

2 : KELOMPOK KEDUA – SYIAH RAFIDHAH (puji kelebihan)
Kecenderungan kedua merupakan kelompok syiah majoriti di dunia ini iaitu Syiah Rafidhah.

MAKNA :
Rafidhah berasal daripada perkataan Ar-Rafdhu (tolak).

NAMA KUMPULAN/GELARAN :
Mereka digelar sebagai Rafdhu atau Rafidhah.

Mereka adalah majoriti yang datang dengan pelbagai nama pada hari ini, antaranya;
- Imamiyah Itsna Asyariyah (Imam 12),
- Ja’fariyah (ada di Gombak, Kedah, Perak, juga berakar dalam parti politik tertentu).

PEGANGAN :
Mereka tidak mengiktiraf bahkan mengkafirkan dan melaknat sahabat dan isteri Nabi SAW seperti :
- Aisyah,
- Abu Bakar,
- Umar,
- Utsman,
- Abu Hurairah,
- Muawiyah ibn Abi Sufyan,
- keturunan Muawiyah
- keturunan Umar keseluruhannya.

AKIDAH :
Apa sahaja yang datang daripada kesemua sahabat yang mereka laknati tidak boleh diterima dan harus ditolak menurut mereka.

Ini bahaya dan tidak boleh dianggap remeh oleh RAKYAT MALAYSIA kerana mereka mempunyai agenda.

Akidah mereka berbeza dengan akidah Ahlussunnah.

Kalau kita setakat berbeza fahaman parti politik, tetapi perbezaan dengan syiah ini lain.

Mereka mengkafirkan sahabat Nabi bertujuan untuk meragukan sumber agama kita.

Idea mengumpul Al Quran datangnya dari Umar, dan Abu Bakar mengarah Umar mencari penulis wahyu lalu Umar memilih Zaid ibn Tsabit dan mereka menulis Al Quran.

Apabila syiah mengkafirkan sahabat maka Al Quran yang ada pada hari ini dianggap tidak boleh dipakai. Mereka hanya akan membaca Al Quran bila kiamat nanti yang dikatakan dibawa oleh Imam Mahdi.

Mereka memiliki akidah taqiyyah (berbohong, berpura-pura).

Menurut Imam mereka, tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah.

TUNTUTAN AGAMA :
Mereka dituntut untuk menzahirkan sesuatu yang bersesuaian dengan masyarakat setempat dan menyembunyikan kepercayaan mereka.

KEPERCAYAAN :
- Kepercayaan mereka berbeza dengan ahlus sunnah.
- Imam Mahdi mereka tidak sama dengan Imam Mahdi ahlus sunnah.
- Imam Mahdi menurut mereka adalah Imam mereka yang terakhir dan menunggu di dalam Gua Sardab.
- Imam Mahdi kita yang Nabi SAW beritakan ada ciri-cirinya berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW,
- tetapi mereka menolak kesemua hadis-hadis tersebut kerana diriwayatkan oleh para sahabat.

- Mereka menolak Sahih Bukhari, Sahih Muslim.
- Imam Bukhari mati di dalam buangan kerana dituduh oleh puak syiah sebagai Nashibi (pembenci ahli keluarga Nabi).

* Jadi perkara ini tidak boleh dibuat main, mereka menimbulkan syubhat dalam pemikiran kita.
Ini adalah majoriti syiah yang sedang bertebaran di atas muka bumi pada hari ini.

Lihatlah sambutan Asyura yang setiap tahun mereka raikan, mereka melaknati Abu Bakar, Umar, dan sahabat Nabi yang lain.

CERITA SAKSI (Ustaz Fathul Bari Mat Jahya) :
Baru-baru ini saya ke Oman bersama sahabat saya, kami memasuki sebuah masjid syiah. Di Oman ada 10-15% penganut agama syiah imam 12. Saya masuk ke dalam masjid mereka dan di situ ada batu-batu karbala iaitu tanah yang dimampatkan menjadi batu dan mereka sujud di atas tanah itu ketika solat kerana menganggap suci tanah tersebut.

Kemudian saya masuk ke dalam lagi dan pergi ke rak buku, saya mengambil satu buku kecil bertajuk Ziarah Asyura (Lawatan Hari Asyura). Saya membuka dan membacanya, di dalamnya terdapat doa-doa laknat ke atas sahabat Nabi beserta tatacara dan kaedah membaca doa-doa tersebut. Adapun tuntutan Nabi SAW ke atas kita pada hari asyura adalah dengan berpuasa, sedangkan mereka pada hari itu mencederakan diri dan mendoakan laknat ke atas sahabat Nabi kerana bagi mereka hari tersebut adalah hari kematian Husain.

3 : KELOMPOK KETIGA – SYIAH BATHINIYAH (simbolik dan tiada amalan)
Syiah yang ketiga, dan ini yang paling pelik. Syiah yang berkecenderungan kepada Bathiniyah (simbolik dan tiada amalan).

LOKASI :
Mereka minoriti tetapi bergerak aktif di sebelah Syria, sempadan Jordan. Mereka juga terdapat di Lubnan.

PEGANGAN :
- Mereka menganggap ibadah seperti solat, haji, dan lain-lain hanya simbolik semata-mata.
- Bahkan pelampau mereka beriktikad malaikat Jibril tersalah menyampaikan wahyu kepada Muhammad, sepatutnya wahyu disampaikan kepada Ali bin Abi Thalib.
- Akidah begini merupakan akidah yang membatalkan keislaman seseorang.

KUMPULAN :
Mereka datang dengan banyak nama, antaranya;

- syiah Nushairiyah seperti Bashar Al-Asad di Syria – mereka menyembah gambarnya kerana telah mengangkat imam mereka setaraf Tuhan,

syiah Duruz,

syiah Isma’iliyah di Pakistan,

Aghakhaniyah di Afghanistan, Pakistan dan Malaysia (dalam kelompok kecil).

Ini adalah tiga kecenderungan syiah, cuma yang majoritinya adalah kelompok yang kedua.

……………………………………….

Cara Mengenali Orang Yang Berpegang Agama Syiah

Syiah boleh dikenali melalui modus operandi atau cara mereka menarik kita.

1. Langkah Pertama :

1) Mereka memulakan dengan memuji ahlul bait (ahli keluarga Nabi).

2) Mereka akan kerap bercerita tentangkebaikan dan kemuliaan kaum keluarga Nabi; Ali, Fathimah, Hasan, dan lain-lain.

3) Mereka menyeru untuk fokus dan bercakap tentang ahli keluarga Nabi sahaja, mengapa perlu bercakap tentang yang lain, kerana Nabi sangat mencintai kaum keluarganya. Oleh itu menurut mereka, memadai mengambil kebaikan daripada kaum keluarga Nabi.

4) Mereka membawa dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis akan kelebihan-kelebihan kaum keluarga Nabi.

5) Kita perlu ingat bahawa Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah orang yang paling cinta kepada Ahlul Bait. Paling cinta bererti mencintai sesuatu sesuai dengan tahap dan statusnya. Ini adalah ciri wasathiyah (kesederhanaan) yakni tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

Kita perlu sayang dan kasih kepada Ahlul Bait. Tetapi kalau pada hari ini ada di kalangan yang mengaku keturunan Nabi tetapi melakukanmaksiat, kejahatan dan kesalahan, maka kesalahannya tidak boleh dibiarkan. Kata Nabi SAW,

لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها

Maksudnya: “Kalau Fathimah bintu Muhammad mencuri aku akan potong tangannya.”

Sayang ada hadnya. Adapun syiah menyayangi ahlul bait dengan menganggap mereka bebasdosa, kerana syiah bertujuan hendak pergi ke peringkat kedua iaitu menceritakan kepada kita tentang imam-imam mereka dan seterusnya memaksumkan mereka.

2. Langkah Kedua :

1) Mereka mempopularkan imam-imam mereka; Khomeini.

2) Antara slogan mereka, “Saya tidak bercakap tentang akidah Khomeini, saya bercakap tentang revolusi yang dibawanya yang perlu kita contohi, perjuangan Hasan Nasrullah, Hizbullah. Hasan Nasrallah pejuang Islam, penentang Israel.”

3) Mereka bertujuan membangkitkan semangat, “Berapa kali syiah menyerang Amerika? Berapa kali mereka berperang dengan Israel sampai hancur. Sedang Amerika mencari Anwar Al Aulaki, menghantar kapal terbang automatik tiada orang, menembak menggunakan satelit, mencari Osama bin Laden sampai jumpa, mencari Saddam Hussein sampai jumpa, mencari Muammar Ghaddhafi sehingga dijumpai, sedangkan Muammar Ghaddafi itu berbillion kekayaannya, membina tempat keselamatannya dengan kekayaannya tetapi Amerika boleh cari juga…”

Kenapa negara syiah seperti Iran, Lubnan dengan Amerika tidak berperang lagi sampai ke hari ini? Tiba-tiba menghantar peluru terkena dekat Palestin, tidak sengaja kononnya. Mereka ada agenda mereka, inilah dia taqiyyah Syiah.

Sebab itu ulama apabila membahaskan hadis Nabi yang menceritakan tentang Dajjal di akhir zaman, yang akan menjadi tentera Dajjal adalah 70 ribu orang daripada Asfahan, di Parsi. Ulama terdahulu sudah mengulas kemungkinan besar mereka ini adalah syiah rafidhah Imam 12.

MEMUJI KHOMEINI
Syiah sering bercerita tentang imam mereka, memuji Khomeini sebagai penulis buku hebat dan pelbagai pujian lagi. Padahal Khomeini, dia menulis dalam bukunya sendiri cercaannya ke atas sahabat Nabi SAW.

SAHABAT NABI MUHAMMAD SAW YANG DIKAFIRKAN OLEH AJARAN SYIAH

Abu Bakar RA adalah sahabat Nabi yang menemani baginda di dalam gua, orang yang dilantik oleh Nabi sebagai imam sewaktu Nabi pergi keluar ke mana-mana, yang Nabi kasih dan Nabi sayang, yang mana ketika semua orang tidak percaya kepada Nabi SAW, beliau menyatakan kepercayaannya kepada Nabi tanpa berbelah bahagi sehingga digelar sebagai As-Shiddiq.

Bagaimana kita boleh mendiamkan diri dengan orang yang mengkafirkan Umar Al Khatthab RA dan mengatakan perselisihan ini kecil. AnakUmar, Abdullah ibn Umar RA merupakan antara yang paling banyak meriwayatkan hadis. Umar yang tegas, pantang orang cuit sedikit sahaja beliau akan mengeluarkan pedang demi Islam. Bahkan Nabi SAW menyebut di dalam hadis bahawa syaitan tidak berani lalu tempat yang dilalui oleh Umar (lihat Sunan Tirmidzi).

Utsman RA yang Nabi memujinya seperti dalam riwayat Imam Ahmad “Tidakkah kamu malu kepada orang yang malaikat pun malu kepadanya?” tiba-tiba kita boleh mendiamkan diri terhadap orang yang mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi ini.

Aisyah RA wanita yang paling banyak meriwayatkan hadis, lantas dikafirkan oleh syiah. Apabila beliau dikafirkan bererti semua hadis yang diriwayatkannya tidak boleh diguna pakai.

Abu Hurairah sahabat Nabi yang paling banyak menghafal hadis pun turut dikafirkan, maka hadis Abu Hurairah tidak boleh diterima.

Jadi apa tinggal dengan agama kita? Mereka meragukan sumber agama kita, begitulah cara mereka merosakkan Islam. Mereka mengambil kitab mereka dan memuliakan imam mereka. Oleh itu berhati-hatilah dengan orang yang mengangkat nama Khomeini, mengangkat negara Iran.

MENYEBARKAN SYIAH MELALUI PERKAHWINAN

1. Orang Iran cantik-cantik parasnya. Antara modus operandi mereka juga adalah melalui wanita dan lelaki Iran, seks dan perkahwinan.

2. Mereka hantar lelaki-lelaki Iran belajar di negara kita, hidung mancung bak seludang,janggut elok, rambut cantik, setakat Sami Yusuf dan Maher Zain tidak ada apa. Siapa tidak bangga kalau dapat menantu paling handsome di kampung. Tetapi padahal mereka membawa ideologi syiah.

3. Di sebelah Afrika mereka menghantar perempuan-perempuan Parsi. Perempuan Parsi ini cantik, Allah berikan keindahan dan kecantikan kepada mereka sebagaimana kata Umar ketika Umar menghantar seorang lelaki di zamannya ke sana, di mana lelaki tersebut sangat kacak sampai semua orang lelaki dan perempuan terpegun melihatnya. Kemudian Umar menyuruhnya mencukur rambutnya, apabila dicukur semua rambutnya bertambah kacak, kemudian Umar menyuruhnya berhijrah ke negeri di belakang 2 sungai (Tigris dan Furat) iaitu Parsi kerana orang Parsi semuanya cantik-cantik belaka.

Itu sedikit sebanya cara mereka menyebarkan syiah. Yang paling jelas adalah mereka banyak mempopularkan ilmuan-ilmuan mereka seperti Khomeini, Hasan Nasrallah, dan sikit-sikit akan merujuk kepada Iran, mengangkat Iran sebagai negara Islam. Sedangkan negara Islam diiktiraf berdasarkan nama atau akidah?

Hal ini bukan hal yang kecil, hal ini serius. Dulu ada usaha tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, antaranya nama-nama seperti Mustafa as-Siba’i, beliau antara tokoh terawal yang hendak taqrib (mendekatkan) Ahlus sunnah dengan Syiah. Beliau pergi duduk di Lubnan untuk beberapa tempoh, akhirnya mengaku usaha taqrib ini tidak boleh diteruskan kerana sumber agama syiah dan ahlus sunnah berlainan.

SEKS BEBAS DI KALANGAN SYIAH NUSAIRIYAH (YANG DIAMALKAN DI SYRIA)

Zina dan seks bebas adalah dosa besar dalam ajaran Islam

Seks bebas adalah zina yang dihalalkan dalam ajaran Nusairiyah. Seks bebas sebagai penyempurnaan iman bagi kaum wanita Nusairiyah.

Ia hanya dihalalkan kepada kaum lelaki mereka sahaja. Sama sekali tidak boleh dengan lelaki bukan dari kalangan mereka

Mereka jadikan wanita sebagai hadiah untuk meraikan tetamu. Mereka namakan hadiah tersebut sebagai ‘al fardhu al lazim’ atau ‘al haq al wajib’ ertinya fardhu yang mesti atau hak yang wajib kepada tetamu.

Penulis buku al Bakurah as Sulaimaniyah dia berbual dengab seorang mursyid syiah Nusairiyah

Suatu hari aku bermusafir ke kampung al Jarab di bandar Antokiah. Aku berjumpa dengan seorang syeikh Nusairiyah dan berbual dengannya. Dia mengajak aku menjadi tetamunya dan bermalam di rumahnya.

Dia sediakan kepada satu bilik cantik untuk tidur. Pada pukul 2pagi tiba-tiba pintu bilik aku diketuk seseorang. Aku pun buka pintu bilik ada seorang perempuan. Dia terus masuk bilik dan menutup pintu bilik. Kemudian perempuan itu pun tidur disisi ku. Aku dalam keadaan terpaku. Aku tak tahu apa yang perempuan mahu.

Selepas beberapa ketika perempuan pun bercakap dengan ku. Dia tanya aku, kamu tak nak ke! ni adalah ‘al fardhu al lazim’ atau ‘al haq al wajib’.

Ketika itu aku baru faham apa yang dikata oleh mursyid tentang ‘al fardhu lazim’ atau ‘al haq al wajib’ mereka menyerahkan wanita samada isteri atau anak perempuan kepada tetamu sebagai meraikan tetamu.

Aku berfikir jika aku berkahwin dengan anak perempuan dari salah seorang imam. Jika ada syeikh yang datang menjadi tamu aku. Aku mesti kena serah isteri aku kepada syeikh sebagai ‘al haq al wajib’. Aku tak boleh terima dan aku tak akan buat begitu selama-lamanya.

Sla rujuk; al Harakah al Batiniyah oleh Dr Muhammad al Khatib.

KITAB & HADIS SYIAH

- Syiah memiliki kitab hadis mereka sendiri, ahlus sunnah ada hadis kita sendiri.
- Syiah mengkafirkan sahabat Nabi, sedangkan kita membawa hadis dari para sahabat yang mereka kafirkan.
- Al Quran mereka mengandungi 17 ribu ayat, Al-Quran kita didakwa tidak cukup, ada surah-surah tertinggal.

Hal ini disebut dalam kitab-kitab hadis mereka; Usulul Kaafi al-Kulaini.

Al-Quran kita : 6236 ayat
Al-Quran mereka : 17,000 ayat

bererti Al Quran kita baru suku daripada Al Quran mereka.

SYIAH AGAMA POLITIK

Pada hari ini mereka turut datang dengan nama Ja’fari dan masuk ke dalam politik tanah air.

Kita perlu ingat bahawa syiah adalah agama politik. Sebab itu salah satu rukun Islam mereka adalah Al-Wilayah (kenegaraan).

Setelah mendapat negara maka barulah sah rukun Islam wilayah mereka.

Maka sebab itu mereka seringkali memberontak dan cuba menjatuhkan pemerintah Islam yang sah, kerana mereka ada agenda untuk menguasai negara.

Itu sedikit berkaitan syiah.
Wallahu-a'lam

Monday 1 April 2013

Menanam URI

Antara tanggungjawab penting suami perlu tahu dan pelajari ialah menanam uri.

MENANAM URI ANAK

Uri atau dikenali sebagai placenta, dan juga disebut tembuni.
Uri jangan dibuang atau ditinggalkan di hospital. Uri adalah teman rapat/kembar bayi semasa didalam kandungan dan uri amat penting kepada bayi.

Uri perlu ditanam dengan segera bagi mengelakkan uri busuk. Jangan disimpan uri hingga dua tiga hari baru dibasuh. Orang tua kata tidak elok. Kalau boleh, cepat-cepat basuh. Contohnya, kalau dapat uri pagi, petang dah tanam. Simpan di peti ais beku jika tak sempat basuh uri tersebut pada hari yang sama/segera. Uri perlu diuruskan dengan baik

Jangan mengikut kepercayaan karut-marut masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun. Semoga, kita dapat menghindarkan diri daripada amalan khurafat ini, yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah kita tanpa sedar.

Cara menguruskan uri

1) Mulakan dengan baca Bismillahirahmannirrahim.

2) Cuci bersih-bersih hilangkan darah-darah. Jangan guna sabun/shampoo.

3) Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan doa yang baik-baik (Untuk pastikan uri tersebut bersih dan suci)

4) Cuci uri dengan garam. Lumurkan garam dan cuci bersih-bersih.

5) Cuci uri dengan asam jawa. Lumurkan asam jawa dan cuci bersih-bersih. (Untuk hilangkan bau hanyir darah)

6) Perahkan 4 biji limau ke atas uri hingga naik bau limau dan untuk harumkan uri.

7) Letakkan dalam plastik/bekas mudah reput seperti plastic tesco/kotak mudah reput, letak garam kasar dan asam keping. Ikat seperti sup bunjut.

8) Letak dalam kain putih dan ikat kemas-kemas seperti sup bunjut.

9) Gali tanah sedalam mungkin, agak-agak tidak dibau/dikesan dan dikorek anjing nanti atau binatang –binatang lain nanti

10) Baca Bismillahirahmannirrahim dan selawat semasa letakkan uri dalam dalam dan timbus.

11) Tanam ditempat yang bersih dan selamat. Contohnya perkarangan surau/masjid.

12) Letak batu sebagai tanda bagi memastikan tidak digali oleh anjing dan binatang2 lain.

13) Jangan di letak lilin dan barangan sebagainya yang boleh mendatangkan syirik dan khurafat.

Hukum menanam uri adalah HARUS. (JAKIM)

• Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
• Uri orang-orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh di bakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri-uri itu untuk di tanam di tempat masing-masing
• Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku, pensil dan sebagainya adalah amalan khurafat.

1001 Sirah Nabi Muhammad

Wednesday 6 February 2013

Antara Hutang, Riba dan Jual beli

Antara Hutang, Riba' dan Jual beli

Dibolehkan bagi simuqridh (orang yang memberi hutang) mengambil manfaat barang yang dihutangnya itu, asalkan itu bukan datang darinya dan tidak pula merupakan perjanjian sebelumnya. Tetapi semata-mata kerelaan dari yang berhutang.

Dari Abdillah bin Abi Rabi’ah r.a. ia berkata:
Pernah Rasulullah s.a.w. berhutang dengan aku sebanyak empat puluh ribu (dinar atau dirham). Lalu datang kepadanya (orang memberikan) wang, maka diberikannya wang itu kepadaku, dan ia berkata: Mudah-mudahan Allah memberi berkah pada keluarga dan harta engkau. Hanya balasan pinjaman ialah puji-pujian (terima kasih) dan mengembalikannya.

(Riwayat Nasaie’)

Dari Abu Rafi’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berhutang dengan seorang lelaki seekor unta berumur 3 tahun. Kemudian dibawa kepada beliau unta berumur 4 tahun untuk disedekahkan, maka aku disuruh oleh Rasulullah supaya membayar kepada lelaki (yang memberinya hutang itu) akan unta tersebut lalu berkata “ Tidak aku peroleh waktu itu melainkan unta yang lebih baik (yang berumur 4 tahun), maka berkata Rasulullah: Berikanlah kepadanya unta itu, sesungguhnya sebaik-baik manusia, ialah orang yang lebih dalam membayar hutang.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain dan ia bermaksud hendak membayarnya, maka Allah akan membayarkannya, dan barangsiapa yang meminjam harta orang dan ia sengaja hendak melenyapkannya (enggan membayar), lebih dahulu Allah akan melenyapkan hartanya itu”.

(Riwayat Bukhari)

Firman Allah s.w.t.: “Dan jika orang berhutang itu dalam kemiskinan, maka hendaklah tunggu sampai ia mampu membayar”
(Al Baqarah 280)

Apabila membayar hutang, disunatkan melebihkan atau membayar dengan lebih baik. Tetapi apabila orang yang memberi hutang itu sendiri yang memberikan syarat, supaya pembayaran hutang itu dilebihkan maka hukumnya riba’ dan haramlah ia memakan lebihan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dari Ali r.a. berkata ia: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Tiap-tiap hutang yang sengaja mencari manfaat, maka hukumnya riba”

(Riwayat Al Haris bin Abu Usamah)

Firman Allah swt:

Pekerjaan berjual beli itu seperti riba, tetapi Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

(Al Baqarah 275)

Jual beli :

Pertukaran Wang -> Barang -> Wang + Pertambahan (Keuntungan yang halal)

Contoh:

Membeli pen berharga RM10 dan menjualnya pada RM20, keuntungan RM10 itu adalah halal disertai dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak penjual dan pembeli.

Menjual secara tunai harganya RM100 tetapi secara hutang RM120, itu dibenarkan oleh syarak disebabkan risiko dan juga dipersetujui oleh pembeli tetapi jika terlewat membayar hutang, harga berubah menjadi RM150 daripada RM120 maka RM30 itu adalah riba’.

Riba :

Pertukaran Wang -> Wang + Pertambahan Manfaat (contohnya faedah atas pinjaman wang)

ataupun :

Pertukaran Barang -> Barang + Pertambahan Manfaat (contohnya beras yang berlainan beratnya).

Dari Jabir r.a. ia berkata : Telah dilaknati oleh Rasulullah s.a.w. orang-orang yang suka makan riba, orang yang jadi wakilnya, jurutulisnya, orang-orang yang menjadi saksinya dan seterusnya rasulullah s.a.w. berkata: “Mereka itu semuanya sama.”

(Riwayat Muslim)

Firman Allah swt:

Orang yang makan riba, mereka tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran penyakit gila.Keadaan mereka yang demikian itu disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang yang sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti, maka baginya apa yang diambilnya dahulu (sebelum datang larangan) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya.

(Al Baqarah 275)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan dia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali”.

(Riwayat Ahmad)

Jenis riba (Nasiah dan Fadhal)

Riba Nasiah

Apabila melewati tempoh yang diakadkan untuk membayar hutang, maka akan ada pertambahan hutang.Riba ini dilakukan oleh kaum Jahiliyah, lalu turunlah ayat pertama mengenai riba :

Firman Allah swt:

‘Wahai orang-orang yang beriman, Janganlah kamu makan harta riba yang berlipatganda dan takutlah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya.’

(Ali Imran 130)

Contohnya membeli kereta dengan ansuran selama 9 tahun, apabila terlewat beberapa bulan dikenakan caj faedah . Caj faedah itu adalah riba tetapi jika kos pengurusan seperti penghantaran notis pemberitahuan maka itu tidaklah diklasifikasikan sebagai riba. Dalam perbankan Islam, pembayar yang sengaja lewat membayar hutang dikenakan ta’widh (denda) dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Denda tersebut tidak boleh disatukan dalam jumlah pinjaman dan sebaiknya didermakan kepada fakir miskin.

Riba Fadhal

Apabila berlaku pertukaran barang ribawi (wang,emas.perak, dan makanan) yang sama jenisnya, terdapat perbezaan imbangan contohnya:

- Menukarkan wang kertas RM10 berjumlah RM90 dengan wang kertas RM100, maka RM10 itu adalah perbezaan dan itu adalah riba.

- Meminjamkan wang RM100 dengan syarat faedah 10% iaitu RM110, maka RM10 itu adalah perbezaan dan itu adalah riba.

- Menukarkan emas 916 dengan emas 999 pada 100gm maka perbezaan komposisi kualiti emas 8.3% itu adalah riba.

- Meminjamkan beras 15kg dengan syarat dipulang kembali sebanyak 20kg maka perbezaan 5kg itu adalah riba.

Apabila disyaratkan atau diakadkan dahulu supaya perbezaan itu menjadi keuntungan bila dikembalikan maka kelebihan yang disebabkan akad itu menjadi riba, dan dilarang sama-sekali oleh Allah swt.

Dalam konteks semasa, mungkin ada di antara kita telahpun terjebak dalam perbankan konvesional yang berasaskan riba melalui pinjaman atau simpanan di bank berkenaan. Seiring dengan perkembangan semasa di mana terdapatnya perkhidmatan perbankan Islam maka seharusnya kita beralih semampu yang boleh dan bertaubat kepada Allah swt atas dosa disebabkan kejahilan kita dahulu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Rujukan:

Fiqh Syafi’i-H Idris Ahmad

Al Umm Imam Syafi’i-Prof TK H Ismail Yaakub

Riba dan Isu Kewangan Semasa-Ust Zaharuddin Abd Rahman

Jurnal Muamalat-JAKIM

Monday 17 December 2012

Bacaan Al-Quran Mengikut Sunnah

Ilmu ini adalah daripada para ulamak dan pakar dalam ilmu agama Islam seperti Dato Ismail Kamus. Semoga kita semua mendapat barakahnya, insyaAllah.

Seorang Muslim digalakkan beribadah membaca Al Quran. Kita akan mendapat ganjaran pahala dan banyak lagi kebajikan bagi setiap bacaan Al Quran. Di antara rahmat utama ialah Al Quran akan memberi kita keamanan dan perlindungan serta mendapat keberkatan. Di dunia Al Quran Al Quran adalah senjata utama untuk melindungi diri dari godaan nafsu dan syaitan. Di Akhirat, Al Quran akan menjadi pembela, dan memberi perlindungan di padang Mahsyar.

Ternyata juga ada bacaan ayat Al Quran tertentu dan di masa tertentu pulak yang akan memberi kita lebih banyak pahala dan manafaatnya. Bacaan ayat tertentu pada masa tertentu untuk membolehkan kita mendapat pahala dan manafaat yang maksima dikategorikan seperti berikut:

1. Waktu Pagi Dan Petang

- Surah An Naas - baca 3 kali untuk jadi pelindung dari segala bencana.
- Surah Al Falaq - sama seperti An Naas iaitu menjadi pelindung dari segala bencana.
- Surah Al Ikhlas - bacaan ayat ini menyamai pahala membaca 1/3 Al Quran.
- Al Baqarah: (255; juga di kenali sebagai Ayat Kursi) - pahalanya menyamai 1/4 Al Quran; setiap huruf membawa 1000 keberkatan dan 1000 rahmat; dibaca selepas sembahyang fardhu akan mendapat ganjaran Syurga.
- Al Mukmin: (1 - 3) - untuk keselamatan.
- Al Hasyr: (21 - 24) - dibaca selepas Subuh dan Asar diberi rahmat serta dijaga oleh 70,000 Malaikat; jika meninggal dunia pada malam atau siangnya akan mendapat Syurga.
- Al Ruum: (17 - 19) - akan diberi pahala bagi amalan yang tidak dapat dijalankan di waktu siang dan malam.

2. Tiap-tiap Malam

- Yaasin - Merupakan hati Al Quran - akan mendapat keredhaan Allah, diampunkan dosa; jika dibaca kepada orang sedang nazak, akan memudahkan kematiannya; jika dibaca di kubur akan diringankan siksa kubur bagi penghuni kubur itu, dan pembacanya mendapat 80 rahmat.
- Ad Dhukhan - 7000 malaikat akan memohon ampun untuk si pembaca.
- Al Zalzalah - mendapat pahala membaca separuh Al Quran.
- Al Imran: (190 -200) - mendapat pahala seperti beribadat separuh malam.
- Al Baqarah: (284 - 286) - mendapat pahala beribadat separuh malam dan dijauhi dari gangguan syaitan dan segala bencana.
- Al Kahfi: (107 - 110) - untuk mendapat balasan Syurga Firdaus dengan segala nikmatnya.

3. Sebelum Tidur

- Al Fatihah - pahala membaca memenuhi timbangan amal, menutup segala pintu neraka, dan mendapat pahala 70 kali ganda ayat lain.
- Bismillah - dibaca 21 kali sebelum tidur akan diberi perlindungan dan mendapat keselamatan; setiap huruf diberi 4000 kebajikan dan dihapuskan 4000 kejahatan dan diangkat 4000 darjat.
- Al Mulk - diberi syufaat dan diampunkan dosa; pahala 60 kebajikan dan dijauhi dari seksa kubur.
- As Sajadah - diberi naungan di hari Kiamat; mendapat kebajikan lebih 60 darjat dari surah lain.
- Al Kaafirun - menyamai satu perempat Al Quran dan akan dilepaskan dari azab neraka.
- Al Waqiaah - dijauhi dari kepapaan.
- Al Hasyr - jika dibaca dan ditakdirkan meninggal pada malam itu, dihitung sebagai mati syahid.