Apakah MUJTAHID?
-mujtahid berasal dari kata Ijtahada, yajtahidu, ijtihaadan, fahuwa mujtahidun, ertinya ialah orang yang berijtihad. Yakni mereka yang bersungguh-sungguh mengerahkan segala tenaga dan kemampuannya yang rasional untuk menggali/mempelajari ajaran Islam yang tertuang di dalam Al-Quran dan hadith, dengan analisanya yang tepat, memberi pertimbangan tentang hukum-hukum Islam. Perbuatannya disebut ijtihad. Syarat-syaray seseorang disebut mujtahid, ialah:
1- mengetahui nas Al-Quran dan nas Hadith. Tidak disyaratkan hafal, tetapi cukup mampu dan dapat mengemukakannyadengan benar (hakikatnya ramai ulama2 muktabar zaman dahulu hafal Al-Quran dan hafal banyak hadith walaupun berbeza-beza bilangannya bagi setiap orang)
2-terhadap hadith, seorang mujtahid disyaratkan mengetahui shahih, hasan dan dhaifnya, keadaan perawinya, mana yang tercela dan mana yang tidak, yang diterima dan yang ditolak, dan sebagainya.
3-mengetahui sola-soal ijmak, sehingga ia tidak memberikan fatwa yang bertentangan dengan ijmak tersebut.
4-mengetahui bahasa Arab sedalam-dalamnya dan mahir dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab seperti: Nahwu, Sharaf, Ma'ani, Bayan, Ba'di (Balaghah), 'Arudl dan Qawafi.
5-mengetahui tentang Asbabu-Nuzul dan Asbabul-Wurudnya.
6-mendalami tentang ilmu usul-fiqh. Kerana ilmu inilah yang menjadi dasar dan pokok ijtihad.
7-mengetahui nasikh dan mansukh.
8-memiliki sifat taqwa dan muru'ah (harga diri), tidak takabbur dan menjauhi segala larangan Allah swt.
Ada beberapa istilah mujtahid/tingkatannya:
A- mujtahid fil-madzhab-seorang mujtahid yang tidak membangun madzhab sendiri, tetapi mengikuti salah satu madzhab tertentu, sedangkan dalam berijtihad mengenai persoalan yang pokok dan soal-soal cabang kadang-kadang ia menyalahi madzhab yang diikutinya.
B- mujtahid fil-masa'I'll - seorang mujtahid yang melakukan ijtihad dalam beberapa masalah sahaja, tidak dalam masalah-masalah yang umum.
C- Mujtahid fis-syar'y - mustaqil- mujtahid yang membangun suatu madzhab tertentu seperti: imam Abu Hanifah, Imam Maliki, Imam Syafi'e, Imam Ahmad bin Hanbal, dan lain-lain. Mereka ini disebut pula dengan mujtahid mutlak.
D- mujtahid muntashib - mujtahid yang memenuhi syarat-syarat ijtihad, tetapi menggabungkan diri dengan suatu madzhab, kerana mengikuti cara-cara yang telah dikembangkan oleh Imam madzhab tersebut di dalam berijtihad.
E- mujtahid muqallid - mujtahid yang berijtihad hanya terbatas mencari alasan-alasan beberapa pendapat dalam madzhab tertentu untuk menghilangkan sejumlah kejanggalan dan kesamaran. Dalam erti, hanya menguraikan pendapat-pendapat yang belum jelas saja.
F- mujtahid muqayyad - mujtahid yang berijtihad dengan hanya mengikat diri pada pendapat ulama salaf dan mengikuti ijtihad mereka, serya memahami dalalah-dalalahnya.
Siapa dan apa itu TAQLID:
- iaitu menerima atau mengikuti pendapat orang lain (mujtahid/ulama) tanpa mengetahui di atas dasar apa pendapat demikian ditegakkan. Orang yang melakukan taqlid disebut muqallid. Tidak semua bertaqlid itu dibenarkan atau dipersalahkan. Orang yang mampu berijtihad (memenuhi ijtihad) tentu tidak dibenarkan bertaqlid kepada orang (ulama) lain, sedang bagi orang yang tidak mampu berijtihad sendiri dibenarkan bertaqlid kepada mujtahid/ulama yang diyakini kebenaran pendapatnya, bahkan WAJIB. Alasan-alasannya adalah seperti berikut:
A) berijtihad sendiri bukanlah hal yang dengan mudah dapat dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin (baca syarat-syarat menjadi mujtahid di atas).
berijtihad tanpa memenuhi pensyaratan yang cukup justeru akan mengundang bahaya yang lebih besar, yang dapat membawa seseorang pada kesimpulan/pendapat yang salah/menyimpang dari maksud al-Quran dan hadith yang sebenarnya.
C) bertaqlid kepada tokok/imam ahli di bidang agama yang diyakini kemampuannya memahami al-Quran dan Hadith secara benar adalah lebih aman untuk mencapai kebenaran daripada berijtihad sendiri tanpa mempunyai syarat yang memadai.
D) setiap orang islam tidak boleh menunda pengamalan agamanya, misalnya penguasaan ilmu tentang solat. Apakah ia harus lebih dulu memahami al-Quran dan hadith sendiri? Taqlid yang diperbolehkan dan diharuskan bagi orang awam disini, selain dalam urusan tauhid. Kalangan ahlus sunnah wal jamaah, mengakui dan bertaqlid kepada madzhab-madzhab seperti berikut:
-di bidang syariat mengikut/bermadzhab kepada salah satu dari empat madzhab iaitu: madzhab hanafi, maliki, syafi'e atau hanbali
-dibidang aqidah, mengikuti/bermadzhab kepada salah satu dari dua imam iaitu imam Al-Asya'ari dan al-Maturidi.
-di dalam bidang akhlak/tasawwuf, bermadzhab kepada imam Junaid al-Bughdady atau imam al-Ghazali.
Mereka itulah yang sampai saat ini masih mempunyai pengikut yang cukup besar, dan pendapat-pendapatnya masih banyak tersebar/berlaku, baik dalam kitab-kitab yang ditulis sendiri atau ditulis oleh murid-muridnya.
Soalan: Bolehkah mengambil terus dari al-Quran dan hadis tanpa melihat kepada pendapat ulama madzhab dalam kitab-kitab feqah mereka?
Jawapan: Perkara ini tidak boleh, tidak benar, malah sesat dan menyesatkan. Dalam kitab Tanwirul Qulub, m/s 75 dinyatakan yang bermaksud:
"Dan barangsiapa yang tidak mengikuti salah satu daripada mereka (imam-imam madzhab) dan berkata: Aku beramal dengan al-quran dan hadith. Dan mengaku telah mampu memahami hukum-hakam dalam al-Quran dan hadis, maka orang tersebut tidak boleh diterima, bahkan termasuk orang yang bersalah, sesat dan menyesatkan, terutama pada masa sekarang ini dimana kefasikan bermaharajalela dan banyak tersebar dakwah-dakwah yang salah kerana dia ingin lebih mahsyur daripada pemimpin-pemimpin agama sedangkan dia di bawah mereka dalam ilmu, amal, keadilan dan ittila' "
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment