Mari Bersanding Cara Islam (kalau nak bersanding sgt la)
Hukum bersanding pada asalnya adalah Harus (mubah).
Dan persandingan itu akan jatuh hukum HARAM dengan sebab-sebab yang mendatang (li’aridin). Sebelum itu, ramai mereka yang menafsirkan bahawa bersanding itu adalah duduk di atas pelamin, disamping ahli keluarga & para tetamu melakukan istiadat menepung tawar.
Bagaimana pula dengan hanya duduk diatas pelamin beberapa ketika untuk bergambar bersama ahli keluarga dan sebagainya?
Jawapannya : Sama ada melakukan istiadat menepung tawar atau pun tidak. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan perkara yang akan disenaraikan nanti maka ianya adalah dihukumkan Haram dengan erti kata lain berdosa dan akan mendapat azab diakhirat nanti.
Definisi Persandingan :
Meletakkan suami-isteri yang baru dinikahkan di atas penganjangan (pelamin) dengan berhias indah, berpakaian lengkap, dikipas oleh dua jurukipas dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.
Tujuan :
Antara tujuan utama persandingan ialah untuk ditonton, menjadi kenangan bersejarah, meraikan peluang seumur hidup dan menghayati adat dan budaya nenek moyang.
Sejarah :
Ada dua teori dalam menjelaskan dari mana asalnya persandingan dalam adat Melayu.
Pertama : Persandingan adalah adat resam Melayu tulen. Ini kerana istilah raja sehari itu persis kepada adat istiadat Melayu yang berpaksikan raja (HM Sidin, Adat Resam Melayu, PAP, 1964)
Kedua : Persandingan adalah adat yang diimport dari India. De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.
Jadi untuk menidak-haramkan perbuatan persandingan @ perbuatan bergambar diatas pelamin, maka hendaklah ianya mempunyai cirri-ciri seperti berikut :
PERTAMA :
Hanya ditonton oleh lelaki & perempuan ada hubungan kekeluargaan yang tidak boleh berkahwin(Mahram)
Perlulah ditegaskan bahawa, sekiranya mahu melakukan persandingan bagi kedua mempelai pengantin baru ini, maka yang boleh menontonnya hanyalah seperti mana yang difirmankan Allah Ta'ala di dalam surah Nur di bawah ini.
Maka sepupu yang boleh dinikahi, rakan taulan, jiran tetangga, dan mereka-mereka yang bukan mahram sememangnya tidak boleh dan diharamkan menontonnya.
Firman Allah S.W.T (maksud):
"..janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
_Surah An-Nur : 31
Rasulullah SAW telah bersabda:
"Setiap perempuan itu adalah aurat. Setiap kali ia keluar dari rumahnya maka syaitan akan memperhatikannya dan (syaitan) berkata: Sesungguhnya engkau tidak akan melalui seseorang melainkan akan memperdayakannya".
[H.R Tirmizi]
Apakah kita tidak mahu beriman dengan apa yang Allah firmankan??
KEDUA :
Tidak bercampur-aduk diantara lelaki & perempuan.
Percampuran lelaki dan perempuan terdapat dua kategori , iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan syara’.
Kategori yang di haruskan syara’ adalah perhimpunan yang tidak berlaku pergeseran tubuh antara lelaki dan perempuan dan yang tidak berlaku khalwat yang diharamkan.
KETIGA :
Tidak Bermegah-megah, Bangga Diri Dan Sebagainya.
Menurut Imam al-Ghazali, seseorang yang terjebak bermegah-megah boleh menjadi syirik terhadap Allah. Alasannya, orang itu telah menjadi penyembah harta. Dan, syirik adalah dosa besar.
KEEMPAT :
Tidak Ada Sebarang Pembaziran (wang ringgit, makanan, masa dan lain-lain)
Pembaziran disini, kita boleh lihat dari pelbagai aspek yang jelas, terumatanya mereka yang mahu bersanding menyewa pakaian pengantin yang melangkaui keperluan, sewa set pelamin yang sememangnya tidak mendatang faedah, makanan yang tidak dihabiskan malah dibuang begitu sahaja, menghabiskan masa dengan sesi bergambar dan lain-lain lagi yang mana akhirnya menyebabkan terabainya perkara utama yang sepatutnya diutamakan.
Sepatutnya masa-masa ini diisi dan disempurnakan dengan perkara-perkara yang sepatutnya iaitu seperti melayani tetamu yang hadir, solat fardhu dan sebagainya.
Firman Allah swt :
"Janganlah kamu membazir secara melampau."
(al-Isra': 26)
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan..."
(al-Isra' : 27)
Dr. Zulkifli Al-Bakri menyebut dalam ceramahnya, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata : “Jenayah yang terbesar bagi umat Islam ialah membazir masa.”
Secara umumnya, tatkala majlis walimatul urus kita berbelanja dan menyewa sewenang-wenangnya tadi seperti penyediaan set pakaian, set pelamin, juru solek, juru photo, catering dan sebagainya.
Tetapi apabila majlis perkahwinan selesai, si pengantin pokai iaitu tidak mempunyai wang yang sepatutnya dan secukupnya untuk meneruskan hari-hari mendatang malah terpaksa berhutang dan sebagainya.
Maka majlis tadi adalah Majlis Pembaziran yang sepatutnya dibendung dan dihindari selaku penganut agama Islam. Inilah yang akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T.
KELIMA :
Tidak Ada Ucapan-Ucapan @ Kata-Kata Yang Kurang Wajar & Kurang Sopan Dari Yang Menyaksikan.
Ini termasuklah tidak menyuruh pasangan pengantin baru melakukan adegan-adegan yang tidak wajar dipertontonkan. Juga tiada umpan-umpatan @ membuka aib sesiapa sahaja.
Sabda Rasulullah S.A.W. (maksud) :
“Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"
[H.R Ibnu Abib Dunya & Ibnu Hibban]
Sabda Rasulullah S.A.W. (maksud) :
"wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri."
[H.R Abu Daud]
KEENAM :
Tidak Melakukan Adegan-Adegan Suami Isteri
Kita lihat, era 2000 ini pasangan pengantin tidak segan silu melakukan adegan-adegan yang tidak patut dipertontonkan dikhalayak umum seperti bercium (sama ada pipi @ dahi), berpelukan ketika bergambar, dukung mendukung dan sebagainya. Sedangkan ini tidak diajar oleh Islam.
Malah tanpa sedari perbuatan ini telah meniru agama Kristian dan Yahudi.. Mereka menganggap remeh akan perkara ini malah mereka berfikiran, mereka bebas melakukan apa pun kerana bergelar Raja Sehari. Inilah perbuatan yang mencemarkan maruah diri sendiri dan juga maruah sebagai Muslim.
Perlulah diingat, kemesraan suami isteri bukanlah untuk dipertontonkan malah pasangan suami isteri perlulah menjaga adab-adab dan berkelakuan sopan seperti bersifat malu, menghormati tetamu, ibubapa serta majlis dan sebagainya. Tambahan pula mereka baru sahaja mendirikan rumahtangga.
"Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yang dapat menimbulkan persangkaan, maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk kepadanya."
(Khalifah Umar al-Khattab R.A)
KETUJUH :
Tidak Tabarruj (Solekan-solekan) & Tidak Menutup Aurat @ membalut aurat.
Definisi TABARRUJ
i) Memperlihatkan seseorang wanita itu akan kecantikannya yang wajib ditutup kepada lelaki yang bukan mahram kepadanya.
ii) Menampakkan wanita akan kecantikannya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Iaitu menampakkan kecantikan dengan membuka dan mempamerkan keelokan bahagian-bahagian yang mengghairahkan seperti pinggul, lengan, betis, dada, leher dan wajah.
iii) Menampakkan kecantikan dan menonjolkan keelokan wajah dan tubuh badan dan fitnah kedua-duanya.
Sepertimana kata Imam Bukhari, tabarruj adalah mempertontonkan seseorangwanita akan kecantikannya (Mohd Hanif 2007:33).
Syeikh al-Maududi mengatakan bahawa: Jika kata tabarruj ditujukan kepada wanita,maka ia memiliki tiga pengertian seperti berikut:
i) Tindakan mendedahkan kecantikan wajahnya dan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengundang berahi kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.
ii) Mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki-lelaki yang bukan mahramnya.
iii) Mendedahkan dirinya melalui cara berjalan, kegenitan dan juga kesombongannya kepadamereka (al-Jarullah 1990:12).
Rasulullah s.a.w. telah bersabda (Maksudnya) :
“Dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dipukul kepada manusia dan wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang gila, mereka tidak akanmasuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian« Di dalam satu riwayat yang lain, bau syurga itu terciumsejauh lima ratus tahun perjalanan.”
[al-Muslim, Kitab al-Libas wa al-Zinah, 3971]
Termasuk di dalam bab ini, pengantin-pengantin perempuan menjauhikan diri dari berhias dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam seperti menyambung rambut, menyambung bulu mata, maskara, mencukur @ menipiskan kening, pakaian yang jarang hingga menampakkan bentuk badan, bersanggul rambut dan sebagainya.
Sabda Rasulullah S.A.W :
“Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan meminta rambutnya disambung.”
[H.R al-Bukhari, no: 5934]
Maksud menyambung rambut ialah mengambil rambut wanita lain untuk disambung ke rambut sendiri. Ia dilarang, sekalipun sekadar hajat atau permintaan untuk melakukannya.
Selari dengan berkembangnya teknologi manusia, pada masa kini teknik menyambung rambut telah diganti dengan teknik memakai rambut palsu. Namun dari sudut hukum, ia tetap sama yakni ia dilarang. Juga berdasarkan kaedah qiyas (analogi), maka dilarang juga memakai bulu palsu sama ada di kening atau kelopak mata. Tidak dibezakan sama ada rambut palus atau bulu palsu itu adalah daripada makhluk lain atau buatan manusia, ia tetap dilarang.
Sabda Baginda S.A.W lagi (maksud) :
"Rasulullah S.A.W melaknat perempuan-perempuan yang mencukur alisnya atau minta dicukurkan alisnya."
[H.R Abu Daud, dengan sanad yang hasan. Demikian menurut apa yang tersebut dalam Fathul Baari]
Sedang dalam riwayat Imam Bukhari disebut :
“Rasulullah S.A.W melaknat perempuan-perempuan yang minta dicukur alisnya.”
Lebih diharamkan lagi, jika mencukur alis itu dikerjakan sebagai simbol bagi perempuan-perempuan cabul.
KELAPAN :
Tidak mengabaikan perkara-perkara fardhu seperti Solat 5 waktu dll.
Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab tidak sempat kerana sibuk dengan urusan keduniaan, malas @ dengan kata lain meninggalkannya dengan sengaja sedangkan dia tahu akan kewajiban melaksanakan solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:
I. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
II. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.
Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
III. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.
Lihat betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat dengan sengaja ini. Tambahan pula ketika mana kita melakukan Sunnah Nabi S.A.W iaitu ketika majlis walimatul urus. Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.
KESEMBILAN :
Tidak melakukan perkara khurafat seperti merenjis beras & air mawar yang membawa simbolik kehidupan & murah rezki.
Menepung tawar memang menyerupai amalan perkahwinan agama hindu. Di samping itu ia melibatkan unsur-unsur pembaziran. Menepung tawar memang menyerupai amalan perkahwinan agama hindu.
Penasihat PERKIM Cawangan Ampang juga merupakan Pegawai Dakwah dari Persatuan Islam Cina Malaysia menyatakan :
“Upacara menepung tawar bukanlah budaya orang hindu semata-mata tetapi upacara menepung tawar ini adalah upacara keagamaan hindu dimana mereka meminta, memohon, berdoa kepada tuhan-tuhan hindu iaitu ganeshan, murugan, parvhati untuk memberkati pengantin.”
Sesuai dengan Sabda Baginda Nabi s.a.w yang (maksud) :
"sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dikalangan mereka."
[H.R Abu Dawud]
Sebagai kesimpulan, cuba kita renung kembali sekiranya terdapat perkara-perkara mungkar seperti yang bersalahan dengan point-point di atas apalah makna majlis pernikahan kita, pernikahan yang mana jika dilakukan menyempurnakan sebahagian dari agama akhirnya dicemari dengan dosa-dosa sama ada kita sedari mahupun tidak, malah lebih hebat lagi ianya menyebabkan kita turut juga menanggung dosa-dosa mereka yang menghadirkan diri kerana berbuat mungkar, yang hakikatnya kita sendiri sebagai penganjur majlis tersebut.
Jangan kita salahkan orang lain, kenapa nanti rumahtangga kita berantakan, hidup tidak bahagia, isteri tidak mahu mendengar kata, suami yang tidak bertoleransi, anak-anak yang degil @ keras kepala, benak hati, lembab fikiran dan sebagainya.
Yang paling penting, sedarlah.. Inilah akibat yang akan berlaku sekiranya tiada keberkatan di dalam kehidupan.
Jadi, Allah Ta’ala kurniakan kita akal yang waras maka pilihlah sama ada mahu pernikahan yang mana akan membentukkan sebuah keluarga yang diberkati ketika sebelumnya, semasa majlis dan sesudah majlis iaitu ketika melayari bahtera rumahtangga atau sebaliknya.. Pernikahan adalah permulaan untuk kita memasuki alam rumahtangga, maka jika permulaan mendapat keberkatan disisi Allah Ta’ala, insyaAllah perjalanan seterusnya lebih mudah, diberkati serta dirahmati Allah S.W.T.
Ingatlah, untuk melahirkan zuriat yang cemerlang dunia dan akhirat mestilah bermula sebelum majlis pernikahan lagi.
via 1001 Sirah Nabi Muhammad
No comments:
Post a Comment