Akal manusia tak mampu jangkau alam ghaib
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
KEWUJUDAN alam ini pada hakikatnya menjadi tanda (ayat) menunjukkan bukti (bayyinat) wujudnya hakikat yang lebih tinggi. Al-Quran menjelaskan konsep alam dengan ungkapan ‘sama’ dan ‘ard’ dan segala yang ada di antara keduanya.
Mengikut ulama, ‘sama’ (langit) membawa makna sesuatu yang terbentang memayungi yang lain. Ia juga membawa maksud ‘sistem kosmik.’ Istilah al-ard pula merujuk kepada seluruh alam, termasuk bumi.
Dalam sistem kosmos, ada antara fenomena alam yang dapat dilihat (al-shahada) dan di luar kemampuan manusia menjangkaunya (al-Ghuyub).
Kosmos adalah istilah Greek yang bermaksud alam semesta yang teratur. Kajian mengenai asal usul kosmos dipanggil kosmologi. Dalam pemikiran Greek klasik, kosmos adalah bersifat semula jadi yang tiada kena mengena dengan kekuasaan Tuhan.
Mengikut ajaran Islam, kosmoslogi berdasarkan kepada wahyu. Al-Quran menjelaskan bahawa alam semesta adalah ciptaan Allah. Kosmologi Islam melihat alam ini teratur, indah, harmonis, beredar dengan tertib pada sistem qadar (takdir) yang ditentukan Allah.
Islam melihat alam kosmos berada dalam fitrah iaitu di bawah peraturan, ketertiban dan peredaran tersusun dan kait mengait antara satu sama lain. Alam dunia adalah sebahagian daripada alam makrokosmos ciptaan Allah.
Alam tidak mampu mengatur diri sendiri dan ia berada dalam ketundukan (doktrin taskhir) dalam sistem yang ditentukan qadar yang mengikatnya dalam ukuran, ketentuan, batasan dan kepastian ditentukan Allah.
Ia berlainan dengan khaliq (pencipta) yang tidak sama sekali tertakluk kepada ruang, masa, tempat, perubahan, sebab musabab dan ia juga bukan ‘trinity’, tidak beranak dan diperanak, tidak tidur dan tidak juga mengantuk seperti digambarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Allah adalah bersifat maha suci.
Mengikut pemikiran Barat, perbahasan mengenai tuhan banyak dipengaruhi konsep seperti realisme, materialisme dan naturalisme, sebaliknya ontologi (teori mengenai wujud) di dunia Timur pula bertitik tolak daripada konsep spritualisme, monoisme, pantheisme dan supernaturalisme.
Perbahasan kosmologi dalam pemikiran Islam cukup luas membabitkan persoalan mengenai metafizik dan alam ghaib yang tidak terjangkau oleh akal manusia. Pemikiran inilah yang tidak ada dalam pemikiran moden Barat yang hanya berdasarkan kepada akal dan empirikal semata-mata.
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas membuat komentar mengenai perbezaan pandangan mengenai alam antara Islam, Yunani dan Kristian.
Katanya, “mengikut pandangan Islam, alam ini qadim, iaitu benda yang baru, daripada tiada kepada ada. Masa wujud apabila alam ada. Mengikut pandangan aliran al-Asyaari dan aliran tasauf, kejadian alam dan segala fenomenanya berbeza daripada barat.”
Mengikut aliran ini, kejadian alam terus menerus berlaku lalu digelarnya alam ini sebagai alam fana. Ia menunjukkan Tuhan sentiasa bertanggungjawab kepada kejadian dulu, kini dan akan datang.
Tuhan tidak berada di luar alam sebagai pemerhati; tidak juga Tuhan yang kini berehat seperti yang digambarkan dalam falsafah Yunani dan Kristian itu serta yang mendominasi pemikiran ahli sains Barat kini.
Alam dalam Islam bukan alam jasmani saja, malah ada lagi alam lain, umpama alam arwah, alam musyahadah dan alam rohani. Keadaan inilah memberikan landasan perbezaan besar antara falsafah sains Barat dengan falsafah sains Islam. (Risalah ASASAINS, Akademik Sains Islam Malaysia, 1987)
Mengikut ajaran Islam, pencipta, pentadbir, pengurus dan pengawal alam ialah Allah. Fir’aun pernah bertanya kepada Nabi Musa seperti dirakamkan oleh al-Quran yang maksudnya: “Fir’aun berkata dengan sombongnya: “Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu? Nabi Musa menjawab: “Dialah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya.” (Surah asy-Syu'araa, ayat 23 dan 24)
Firman Allah bermaksud: “Bertanyalah kepada mereka wahai Muhammad: “Adakah di antara makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula untuk menerima balasan; oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan kepada menyembah yang lain.” (Surah Yunus, ayat 34)
Fir’aun adalah contoh terunggul mengenai pemerintah atau raja dunia yang bongkak, sombong dan takbur serta terpedaya dengan kuasa serta kerajaan pemerintahan yang dimilikinya lalu mengangkat dirinya sebagai Tuhan.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah akan memegang bumi dengan kanan-Nya kemudian berkata: Akulah Raja (Malik) di manakah raja-raja bumi? Di manakah orang yang mendakwa dirinya gagah perkasa? Di manakah orang yang bongkak dan sombong (mutakabirin)?” (Hadis sahih Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment