Sunday, 6 May 2012
Suami Isteri- Masalah Kewangan
SOALAN:
Saya bertugas di sebuah jabatan kerajaan manakala suami berkerja di sektor swasta. Gabungan gaji kami berdua tidak seberapa. Setiap bulan, saya bingung memikirkan masalah kewangan yang kami hadapi. Baru sahaja mencecah seminggu, duit gaji kami berdua licin untuk perbelanjaan seharian. Tambahan pula kami kini menanggung dua orang anak yang masih kecil. Masalah ini sedikit sebanyak mengganggu keharmonian rumah tangga kami. Apa yang patut saya lakukan agar kewangan dan rumah tangga sama-sama stabil?
JAWAPAN:
Masalah kewangan boleh dikategorikan sebagai masalah biasa bagi kebanyakan individu atau pasangan hari ini. Bak kata pepatah: besar periuk, besar juga lah keraknya. Namun, terpulang kepada individu atau pasangan tersebut untuk bertindak terhadap kerak yang ada; sama ada nak dibuang atau boleh juga dimakan bersama kari, masih mampu menyelerakan tekak.
Kepada puan yang bertanya, juga buat pembaca semua; masalah kewangan bukan satu perkara yang boleh menjadi peluru menikam jantung. Tiada masalah tanpa jalan penyelesaian. Jalan paling utama ialah suami puan perlu usahakan sesuatu untuk menambah pendapatan keluarga. Saya sebutkan suami kerana suami merupakan ketua keluarga dan perlu bertindak bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi di dalam rumahtangga. Namun, tidak bererti puan perlu berdiam diri. Sebagai isteri yang juga bertindak sebagai rakan kongsi, puan juga boleh membantu suami usahakan sesuatu.
Dalam dunia serba canggih kini, terlalu sedikit individu yang melakukan kerja tunggal. Ramai yang menjalankan pelbagai pekerjaan serentak bagi membiayai kehidupan sendiri dan keluarga. Nasihat saya; berhati-hati dalam berusaha! Jangan mudah terpedaya dengan pujukan pelbagai iklan yang menawarkan pendapatan mudah dengan usaha minima. Terlalu banyak kes berkaitan dikenalpasti sebagai satu penipuan. Ingat! Tiada jalan mudah untuk memperolehi kesenangan temasuk kewangan yang baik dan halal untuk keluarga!
Dalam berusaha juga, pastikan komunikasi suami isteri dan anak-anak terjaga. Wang perlu tapi bukan segalanya. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Selain itu, puan dan suami juga perlu mengurus kewangan dengan lebih bijak. Utamakan keperluan semata-mata dahulu hingga kewangan lebih stabil, barulah sesekali menunaikan kehendak kepada sesuatu yang termasuk dalam kategori kemewahan. Dalam berbelanja juga, utamakan kualiti barangan dan bukan jenama. Ada juga barangan pasar malam yang baik mutunya dan standing dengan barangan berjenama dengan harga tinggi di pusat beli belah. Paling penting; elakkan menggunakan kad kredit. Penggunaan kad kredit sebenarnya menambah hutang dan bukan menyelesaikan masalah kewangan anda.
Di samping usaha tadi; puan dan suami boleh lakukan beberapa amalan tuntutan syarak yang boleh membantu menambah rezeki keluarga. Amalan paling penting: jangan abaikan solat malah dirikanlah solat terutama solat lima waktu. Dirikan bermaksud melaksanakan solat dengan penuh khusyuk, tertib rukun dan penuhi syaratnya. Selalulah beristighfar memohon ampun kepada Allah. Ada tikanya kita tak sedar dengan kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan. Beristighfar memohon ampun boleh membersihkan diri seterusnya membantu memurahkan rezeki.
Puan dan suami juga perlu memperuntukkan sedikit wang untuk diberikan kepada ibu dan bapa masing-masing. Tak perlu banyak tetapi perlu ikhlas. Pemberian tersebut akan menceriakan hati ibu bapa walau hakikatnya mereka tak minta malah membantu menambahkan barakah dalam rezeki yang puan dan suami terima. Barakah bukan bererti banyak tetapi akan mencukupi biar apa pun jumlahnya dan tak kira apa pun perbelanjannya. Bantulah juga mereka yang memerlukan. Bantuan yang kecil tetapi setulus hati akan membahagiakan orang lain. Kebahagiaan mereka menjadi asas rahmat untuk kewangan puan sekeluarga, insyaAllah!
Saya juga ingin merayu agar puan mengubah pendirian puan terhadap anak-anak. Berdasarkan penyataan puan menerusi soalan yang dikemukakan, puan seolah-olah merasakan anak-anak adalah bebanan. Jangan simpan perasaan atau pendirian sedemikian. Walau bukan diluahkan secara langsung, rasa terbeban memikirkan keperluan anak-anak juga termasuk dalam anggapan mereka sebagai bebanan. Ketahuilah! Dalam satu hadis Rasulullah SWT, baginda menegaskan Allah SWT akan memberikan rezeki kepada rumah yang mempunyai insan yang lemah. Ulama mentafsirkan insan yang lemah sebagai mereka yang tidak berdaya iaitu orang tua (ibu bapa) dan kanak-kanak. Anak-anak ini telah dijanjikan dengan rezeki mereka yang tersendiri cuma sebagai ibu bapa mereka, kita hanya perlu usahakan rezeki tersebut.
Puan seisi keluarga juga perlu bersyukur dengan rezeki yang ada. Memang perit tetapi jangan sesekali mengeluh apatah lagi mempertikaikan anugerah pemberian-Nya. Puan sekeluarga sepatutnya bersyukur kerana biarpun wang gaji habis dalam masa seminggu sahaja, puan dan suami masih punya pekerjaan dan pendapatan. Masih ramai lagi mereka di luar sana yang tiada pekerjaan atau sumber pendapatan dan terpaksa mengikat perut. Dalam mengharungi ranjau hidup, boleh memandang kepada yang lebih senang dan berjaya tetapi perlu dengan iltizam dan semangat untuk anda juga berusaha gigih bagi mencapai kedudukan seperti mereka. Pandang dan perhati juga kepada mereka yang lebih dhaif daripada anda bagi mewujudkan rasa insaf dan syukur atas segala nikmat pemberian-Nya.
Percayalah! Masalah kewangan yang anda hadapi kini bukan hanya sebagai satu ujian sebaliknya mempunyai sebab dan alasan yang tersendiri. Jangan jadikan masalah kewangan sebagai pemangkin ke arah masalah hubungan antara suami isteri. Sepatutnya, puan dan suami sama-sama berbincang, ikhtiarkan jalan penyelesaian, bersama-sama berganding bahu untuk keluar daripada masalah yang ada. Ikhtiar paling utama di samping usaha fizikal anda ialah doa. Berdoalah kepada-Nya tanpa putus asa! Mohon agar dikurniakan kemurahan rezeki yang baik dan halal. Jelaskan bentuk rezeki yang anda inginkan. Perlukan penjelasan kerana rezeki kurniaan Ilahi mempunyai pelbagai bentuk. Anak juga rezeki. Pekerjaan juga rezeki. Jika inginkan lebihan pendapatan; sebutkan dengan jelas! Jika inginkan kenaikan gaji, ucapkan juga dengan terang.
Ya! Allah SWT Maha Memahami dan Mengetahui. Analogi mudah, kalau anda ke restoran; semestinya pelayan dah tau anda nak makan tetapi kalau anda tak sebutkan dengan jelas jenis atau bentuk hidangan yang anda inginkan, kemungkinan hidangan yang diberikan kepada anda tersalah daripada kehendak anda adalah tinggi. Berdoa sepanjang masa, bukan hanya selepas sembahyang yang lima. Bila teringat tentang kemelut yang dihadapi, berhenti seketika dan mohonlah kepada-Nya, walau tika itu anda sedang berhenti di lampu isyarat atau sedang menaip di hadapan komputer.
Di samping doa agar murah rezeki, berdoa juga untuk ibu bapa. Doa mohon kesejahteraan untuk ibu bapa menjadi faktor pemangkin kepada kemurahan rezeki anda sekeluarga, insyaAllah!! Berdoalah dengan sepenuh hati dan pengharapan, penuh pengaduan dan rayuan. Allah SWT dah janjikan, mohonlah kepada-Nya dan DIA akan tunaikan dengan syarat; jangan sesekali mempertikaikan kenapa DIA lambat atau belum makbulkan doa anda. DIA lebih tau yang terbaik untuk anda.
Jika doa anda dimakbulkan dengan cepat, betullah anda disayangi. Jika doa anda dimakbulkan lambat, bukan tak sayang cuma DIA ingin menguji iman dan kesabaran anda. Andai DIA tak tunaikan pula bermaksud DIA ingin berikan yang lebih baik daripada yang anda minta. Usaha, doa dan tawakkal mengharapan redha-Nya! Pasti ada bahagia, insyaAllah!!
Nukilan Suzana Ghazali
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie
Petikan ruangan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma bulan Oktober 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment